Aug 19, 2025 4PM
Tiada sijil halal dilarang guna No Pork, No Lard, Muslim-friendly
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menegaskan penggunaan terma Muslim-friendly, No Pork No Lard adalah dilarang bagi mana-mana pihak bukan pemegang Sijil Pengurusan Halal Malaysia (SPHM).
Jais berkata, istilah-istilah tersebut menggambarkan makanan atau perkhidmatan yang mematuhi piawaian halal walhal produk-produk itu tidak disahkan halal oleh pihak berkuasa mahupun dijamin mengikuti keperluan halal.
“Sebagai contohnya dari aspek bahan mentah, pemprosesan dan juga kebersihan.
“Di Malaysia, Akta Perihal Dagangan 2011 melarang sama sekali menggunakan istilah atau label yang boleh mengelirukan pengguna.
“Hanya pemegang SPHM sahaja yang boleh menggunakan istilah-istilah ini,” katanya.
Teguran JAIS itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen, khususnya dalam kalangan Muslim. (kredit foto: Malaysiakini)
JAIS turut bertegas, istilah no pork dan no lard hanya memaklumkan pengguna bahawa produk tersebut tidak mempunyai khinzir namun tidak mendedahkan bahan-bahan lain seperti alkohol, gelatin tidak halal serta pencemaran silang.
Penggunaan ayat al-Quran dan perkataan berunsurkan Islam oleh pengusaha bukan pemegang SPHM juga adalah satu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 kerana boleh mengelirukan pengguna, maklumnya.
JAIS menasihatkan umat Islam untuk sentiasa berwaspada dengan memastikan sesuatu premis atau makanan itu berstatus halal sebelum membeli atau memakannya.
Namun, setakat ini tidak dapat dipastikan apa tindakan yang bakal dikenakan ke atas premis tanpa sijil halal sekiranya mereka masih menggunakan istilah no pork, no lard dan Muslim Friendly tersebut.
Waktu Solat


22 Aug 2025
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:51

