Aug 20, 2025 11AM
McDonald’s Malaysia tunai zakat korporat RM300,000 kepada Lembaga Zakat Selangor
McDonald’s Malaysia menyerahkan zakat korporat bagi tahun ini berjumlah RM300,000 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS), hasil perniagaannya daripada operasi 111 restoran di seluruh negeri Selangor.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, sebagai syarikat milik orang Islam 100 peratus, pembayaran zakat itu membuktikan komitmen syarikat untuk menggunakan platform perniagaan mereka bagi membantu masyarakat yang memerlukan, bukan sekadar mengejar keuntungan.
“Di McDonald’s Malaysia, kami percaya berzakat bukan sahaja kerana syarikat wajib untuk membayar atas tanggungjawab sebagai syarikat orang Islam, tetapi ia adalah nilai teras syarikat untuk membantu komuniti memerlukan.
McDonald’s Malaysia menyerahkan mock cheque bernilai RM300,000 sebagai simbolik penyerahan zakat kepada LZS.
“Syukur Alhamdulillah, tahun ini kami dapat menyempurnakan Rukun Islam di semua 14 negeri termasuk Selangor,” katanya pada Majlis Penyerahan zakat korporat di McDonald’s Seksyen 3 Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Tambah beliau, hari ini, McDonald’s Malaysia bukan sahaja dapat berzakat, tetapi berkongsi kesyukuran dengan keluarga asnaf melalui pemberian kotak rezeki.
“Walau dalam apa jua keadaan sekali pun, McDonald’s Malaysia sentiasa berusaha untuk membantu mengikut kemampuan kami,” katanya.
Selain berzakat, McDonald’s Malaysia juga menyumbangkan Kotak Rezeki kepada 100 keluarga asnaf
Sejak diambil alih oleh Datuk Azmir Jaafar melalui Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd, McDonald’s Malaysia telah melunaskan pembayaran zakat sebanyak RM14 juta secara keseluruhan sejak 2017.
Istimewa pada tahun ini, buat pertama kalinya, McDonald’s Malaysia menjelajah ke-14 negeri untuk menyerahkan zakat kepada setiap Majlis Agama Islam negeri di restoran-restoran McDonald’s terpilih.
Selangor merupakan negeri ketiga yang menerima zakat korporat McDonald’s Malaysia selepas negeri Perak dan Terengganu.
Bagi berkongsi kesyukuran, McDonald’s Malaysia menyumbangkan 1,000 pek hidangan percuma kepada pelanggan dan komuniti setempat yang hadir
Selain itu, McDonald’s juga berkongsi rezeki dengan memberi 1,000 pek hidangan percuma kepada pelanggan di setiap lokasi.
McDonald’s Malaysia giat menyantuni komuniti melalui lebih 370 restorannya di seluruh negara menerusi aktiviti kemasyarakatan.
Setiap tahun, lebih 10,000 inisiatif dijalankan menyentuh pelbagai lapisan masyarakat. Ini termasuk sumbangan kepada anak yatim, warga emas, jemaah masjid dan surau serta mangsa banjir.
Untuk rekod, pada 2020, McDonald’s Malaysia menerima pengiktirafan daripada Lembaga Zakat Selangor melalui Sijil Pembayar Zakat Korporat.
Dengan penganugerahan sijil itu, ia sekali gus mencerminkan komitmen syarikat terhadap institusi zakat tersebut termasuk komuniti asnaf yang menerimanya.
Selain menjadi antara restoran berkhidmat segera terawal yang diiktiraf dengan Sijil Halal JAKIM, Sijil Pembayar Zakat Korporat LZS itu melengkapkan kedudukan McDonald’s Malaysia sebagai syarikat orang Islam yang bertanggungjawab dalam segala urusan.
Waktu Solat


22 Aug 2025
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:51

