Back To All

Mar 13, 2026 10AM

McDonald’s Malaysia perluas sokongan asnaf bersama JAWI Food Bank bersempena Ramadan

author

NUR AMIRA AFRINA

Bersempena bulan yang mulia ini, McDonald’s Malaysia mengambil peluang memperluas sokongan Ramadan terhadap komuniti asnaf melalui Program Kongsi Rezeki Ramadan bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Food Bank. 

 

Menurut Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi, inisiatif itu melibatkan penyediaan pek makanan, pengagihan Kotak Rezeki, sumbangan bernilai RM6,000 kepada masjid dan bantuan kewangan melalui wakalah kepada pelajar asnaf.

 

“Kerjasama McDonald’s dengan JAWI Food Bank sejak 2020 adalah sebahagian penting usaha kebajikan Ramadan kami, termasuk pemberian makanan kepada komuniti asnaf, gelandangan dan anak yatim. 

 

“Kami bersyukur dapat meneruskan usaha ini sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial korporat untuk memastikan golongan asnaf terus disantuni dan menerima sokongan sewajarnya,” katanya.

 

Tambah beliau, McDonald’s Malaysia turut memperkukuh kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui pembayaran zakat korporat tahunan sebagai syarikat 100 peratus milik orang Islam, selain terlibat sama dalam program komuniti.


Agihan bubur lambuk kepada para tetamu untuk dibawa pulang bagi makan moreh atau sahur keesokan harinya. (kredit foto: OMD)


Khususnya tahun ini, francais itu bekerjasama dengan MAIWP bagi Program Santun Pelajar McDonald’s Malaysia bersama Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) untuk menyokong keperluan asas para pelajar asnaf di institusi tersebut.

 

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Hanifuddin Roslan berkata beliau menyokong usaha bersepadu antara jabatan itu dengan McDonald’s Malaysia dalam mengangkat golongan asnaf.

 

“JAWI Food Bank amat menghargai kerjasama yang telah terjalin sekian lama bersama McDonald’s Malaysia, khususnya dalam menjayakan program bantuan makanan sepanjang Ramadan. 

 

“Usaha ini bukan sahaja membantu meringankan beban masyarakat asnaf, malah menyemai budaya prihatin dan ihsan dalam komuniti. 

 

“Kami berharap lebih banyak pihak korporat akan tampil bekerjasama dalam inisiatif sebegini untuk memberi manfaat yang lebih besar kepada masyarakat,” katanya.


Penyampaian baucar makanan percuma Program Santun Pelajar serta duit raya kepada pelajar Kolej Profesional MAIWP. (kredit foto: OMD)


Melalui program itu, pelajar terlibat termasuk 20 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dapat menebus baucar Nasi Mekdi di cawangan-cawangan McDonald’s berdekatan untuk menikmati hidangan nasi dengan telur, kuah kari kentang, sayuran campur, Ayam Tenders McD Pedas dan minuman teh ais lemon.

 

Menjelang akhir 2026, McDonald’s Malaysia menyasarkan penyediaan satu juga hidangan Nasi Mekdi kepada pelajar memerlukan.

 

Diadakan di Dewan Masjid Al-Imam Ash-Shafie, Taman Maluri, Cheras, majlis itu dihadiri oleh lebih 500 tetamu termasuk para pegawai JAWI, wakil MAIWP dan 200 pelajar asnaf Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP), 7 Mac lalu.

 

Ia diserikan lagi dengan kehadiran Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil yang menyifatkan Program Kongsi Rezeki Ramadan McDonald’s Malaysia sebagai langkah ke arah menyayangi golongan asnaf.

 

“Kita nak sayang orang fakir miskin, kita nak sayang semua orang yang memerlukan bantuan dan Insha Allah jika kita bersatu, semua orang akan dapat merasainya.


McDonald’s Malaysia dan JAWI Food Bank mengagihkan bubur lambuk kepada warga komuniti sebelum berbuka puasa. (kredit foto: Facebook JAWI)


“Jadi, saya ucapkan terima kasih kepada McDonald’s Malaysia dan JAWI atas bantuan yang diberikan kepada orang ramai dan anak-anak asnaf.

 

“Insha Allah, selepas ini akan ada lagi penambahan bantuan, sebab kita nak bantu asnaf agar mereka dapat keluar daripada status asnaf itu melalui bantuan ini,” katanya.

 

Beliau turut menyeru para pelajar KPMAIWP untuk belajar bersungguh-sungguh agar dapat menarik bukan sahaja keluarga mereka keluar daripada kancah kemiskinan, namun menghulurkan bantuan kepada orang lain yang memerlukan. 

 

“Kita nak bagi masyarakat ini bukan setakat makanan, tetapi pelajaran kerana ilmu yang akan mengeluarkan kita dari kemiskinan.

 

“Saya seru anak-anak untuk belajar rajin-rajin dan tolong ibu bapa kita, kerja kuat dan cari duit walaupun hanya separuh masa.

 

“Kita tidak boleh bersandarkan bantuan sepenuhnya kerana ia terbatas, jadi jika ada anak-anak yang berminat, McDonald’s Malaysia ada sediakan peluang pekerjaan itu,” katanya.

Waktu Solat
Waktu Solat
mosque
mosque

14 Mar 2026

Waktu solat berikutnya,

Imsak

pada

06:03

mosque
imsak

Imsak

06:03:00

fajr

Fajr

06:13:00

syuruk

Syuruk

07:19:00

dhuhr

Dhuhr

13:25:00

asr

Asr

16:35:00

maghrib

Maghrib

19:27:00

isha

Isha

20:36:00

mosque

Channel Partners

malaysiakinikiniTV

Strategic Partners

pibbhiphip

Media Partner for

WitexHei 2023Hei 2023Malaysia Showcase