Back To Halal News

Mar 24, 2026 12PM

Konflik Asia Barat tingkat risiko global, Malaysia perlu tampil sebagai destinasi pelaburan stabil — Tengku Zafrul

author

SYILDA ISMAIL

Petikan pandangan mengenai krisis Asia Barat dan implikasinya terhadap ekonomi global ini dikongsi oleh Tengku Zafrul Aziz menerusi satu hantaran di akaun LinkedIn beliau pada 24 Mac 2026.

 

Dalam kenyataan tersebut, Pengerusi MIDA itu berkata krisis yang berlarutan di Asia Barat meningkatkan ketidaktentuan ekonomi global, termasuk lonjakan harga tenaga, kos logistik yang lebih tinggi serta tekanan inflasi yang kembali menghampiri banyak negara.

 

Beliau menegaskan bahawa sebagai sebuah negara perdagangan terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada kesan perkembangan geopolitik tersebut, khususnya melalui gangguan rantaian bekalan dan tekanan kos sara hidup.

 

“Di peringkat global, gangguan permintaan kini pantas beralih kepada kemusnahan permintaan. Jika konflik berlarutan, pertumbuhan ekonomi dunia akan terus tertekan,” katanya.

 

Bagaimanapun, Tengku Zafrul berpandangan bahawa sejarah menunjukkan tempoh krisis sering mencetuskan penyusunan semula ekonomi global, termasuk perubahan aliran modal dan penstrukturan semula rantaian bekalan antarabangsa.

 

Menurutnya, dalam persekitaran yang semakin tidak menentu, pelabur, dana kekayaan berdaulat dan syarikat multinasional akan lebih berhati-hati dan cenderung memilih negara yang menawarkan kestabilan politik, kejelasan dasar dan kredibiliti institusi.

 

“Apabila risiko meningkat, kualiti ini menjadi semakin bernilai,” katanya.

 

Tengku Zafrul berkata Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh berikutan kestabilan politik, lokasi strategik di tengah-tengah ASEAN serta integrasi mendalam dengan rangkaian perdagangan global. Selain itu, kekuatan dalam kewangan Islam dan ekosistem halal turut meletakkan Malaysia sebagai penghubung antara Asia Timur dan Asia Barat.

 

Beliau turut menekankan bahawa prestasi pelaburan negara menunjukkan momentum yang konsisten, dengan pelaburan diluluskan mencecah RM426.7 bilion pada 2025, tertinggi dalam sejarah negara.

 

“Dalam tempoh ketidaktentuan, pelabur lazimnya memilih destinasi dengan rekod prestasi yang terbukti berbanding sekadar janji potensi,” katanya.

 

Mengulas potensi aliran modal dari Asia Barat, Tengku Zafrul berkata dana kekayaan berdaulat di bawah Gulf Cooperation Council yang menguruskan sekitar USD5 trilion dijangka mencari kepelbagaian geografi dan sektor susulan ketegangan serantau.

 

Menurutnya, Malaysia berada pada kedudukan yang sesuai untuk menarik sebahagian aliran tersebut, khususnya dalam sektor pusat data, tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur kuasa dan grid, logistik, taman perindustrian, penjagaan kesihatan, keselamatan makanan, industri halal serta pembuatan termaju.

 

Beliau juga menyifatkan rundingan perjanjian perdagangan bebas antara Malaysia dan negara-negara GCC yang bermula pada Mei 2025 sebagai tepat pada masanya, bukan sahaja dari sudut perdagangan tetapi juga sebagai isyarat penjajaran institusi dan komitmen ekonomi jangka panjang.

 

Pada masa sama, Tengku Zafrul mengakui kesan krisis Asia Barat berpotensi dirasai rakyat melalui kenaikan harga bahan api dan makanan, serta tekanan kos sara hidup sekiranya konflik berpanjangan.

 

“Kita tidak boleh mengawal perkembangan geopolitik global, tetapi kita boleh menentukan bagaimana kita bertindak balas,” katanya.

 

Beliau menegaskan bahawa keutamaan kini adalah memastikan proses kelulusan pelaburan kekal cekap, fasilitasi pelabur diselaraskan serta manfaat pelaburan diterjemahkan kepada penciptaan pekerjaan, pembangunan infrastruktur dan pengukuhan daya tahan ekonomi domestik.


Waktu Solat
Waktu Solat
mosque
mosque

25 Mar 2026

Waktu solat berikutnya,

Imsak

pada

05:58

mosque
imsak

Imsak

05:58:00

fajr

Fajr

06:08:00

syuruk

Syuruk

07:15:00

dhuhr

Dhuhr

13:22:00

asr

Asr

16:25:00

maghrib

Maghrib

19:25:00

isha

Isha

20:34:00

mosque

Channel Partners

malaysiakinikiniTV

Strategic Partners

pibbhiphip

Media Partner for

WitexHei 2023Hei 2023Malaysia Showcase