Jun 13, 2025 5PM
TVET perluas usaha gabungkan ilmu hafazan al-Quran dengan kemahiran vokasional
Gabungan ilmu hafazan al-Quran dan kemahiran teknikal serta vokasional memberi pelajar lebih banyak peluang untuk menyumbang kepada kemajuan agama, bangsa dan negara secara aktif selain menjadikan mereka para huffaz yang lebih versatil.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk Membangun Generasi Huffaz Berkemahiran yang berlangsung malam tadi membuka dimensi baru buat masa depan generasi al-Quran itu.
“Saya senada dengan pandangan para panel yang menekankan keperluan menjadikan TVET sebagai fardu kifayah kerana ia merupakan satu tuntutan masyarakat dalam membangunkan ummah pada masa kini.
(Dari kiri) Moderator, Ustaz Mohd Hariri Daud; Timbalan Mufti Pahang, Datuk Haji Badli Shah Haji Alauddin; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pembangunan Tahfiz TVET bagi Majlis TVET Negara, Dr. Muhammad Faizal Bin Tahiruddin dan Pendakwah, Ustaz Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan. (kredit foto: Facebook Zahid Hamidi)
“Malah, saya juga bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan bahawa “agama tidak pernah memisahkan antara kilang, bengkel dan masjid,” katanya.
Forum itu diadakan bersempena sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara tahun ini.
Pengerusi TVET Negara itu juga berkata, inisiatif itu terus diperkasakan untuk melahirkan lebih ramai huffaz berkemahiran yang celik wahyu dan cekap mengurus realiti.
“Apa yang lebih membanggakan, saya melihat majoriti yang hadir malam tadi adalah daripada golongan anak muda.
Sambutan Hari TVET Negara 2025 di MITC Ayer Keroh itu menyasarkan kehadiran 15,000 pengunjung dalam masa tiga hari ia berlangsung (kredit foto: Facebook Zahid Hamidi)
“Ini membuktikan bahawa minat terhadap pendekatan pendidikan yang seimbang semakin subur dalam kalangan generasi baharu,” katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.
Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan sambutan Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka.
Acara yang berlangsung selama tiga hari itu melabuhkan tirainya hari ini.
Waktu Solat


14 Jun 2025
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:42

