May 28, 2025 9AM
Alzara Foods: Halal bukan sekadar logo tapi komitmen dalam pengeluaran produk Halal
Perniagaan yang berlandaskan konsep Halal pada masa kini bukan sahaja meliputi bahan-bahan yang dibenarkan di sisi syarak, namun turut menekankan rantaian operasi bebas daripada dicemari unsur-unsur haram.
Prinsip itu menjadi teras kepada perusahaan Alzara Foods Sdn. Bhd, sebuah syarikat pengeluar bahan masakan Halal yang telah bertapak di dalam industri Halal tempatan selama tujuh tahun.
Pengarah Urusan Alzara Foods Sdn Bhd, Yazid Manpa, berkata bahawa syarikat mereka berpegang kepada seruan Allah SWT yang mewajibkan umat-Nya mencari dan menggunakan barangan yang Halal.
Cabaran itu disahut oleh Alzara Foods Sdn Bhd dengan menyediakan produk Halal dan bermutu tinggi sebagai alternatif kepada makanan yang sedia ada malah setanding dengan bahan bukan Halal agar keperluan masyarakat dipenuhi.
Pengarah Urusan Alzara Foods Sdn Bhd, Yazid Manpa ketika ditemu ramah oleh Kinihalal
“Halal merangkumi sistem yang menunjukkan kebersihan dan keberkesanan produk yang ingin diiktiraf Halal, bukan berdasarkan logo atau dokumentasi semata-mata,” katanya.
Menurut Yazid, piawaian tersebut menyebabkan perjalanan mendapatkan sijil Halal khususnya dalam sektor pembuatan makanan mengambil masa yang lama serta memerlukan komitmen berterusan daripada pihak pengurusan dan kakitangan berkaitan.
“Standard operasi Halal ini menyeluruh, bukan setakat di pihak bawahan tetapi termasuk pihak atasan misalnya kakitangan kami termasuk saya telah mengikuti kursus Halal anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Ia juga dilaksanakan merentasi rantaian operasi kami sehingga semua pembekal produk kami juga terdiri daripada pembekal yang sudah ada sijil Halal.
Sijil Halal Malaysia memudahkan pengusaha menembusi pasaran Halal antarabangsa kerana piaiwaiannya yang ketat (kredit foto: Malaysiakini)
“Setiap kali audit juga, kami akan memastikan kami mematuhi semua standard operasi yang telah ditetapkan malah lebih daripada apa yang ditetapkan,” katanya.
Untuk rekod, Alzara Foods Sdn Bhd dalam proses mendapatkan sijil Halal bagi kilang baharunya kerana sijil Halal yang mereka perolehi sebelum ini hanya terpakai kepada kilang lama.
Selari dengan pembukaan itu, Yazid memaklumkan bahawa Alzara Foods Sdn Bhd dengan kerjasama Kinihalal sebagai rakan media membuat hebahan berhubung produk syarikat itu, minyak sapi campuran Alzara.
Beliau berkata, pasaran minyak sapi di Malaysia adalah sengit terutamanya apabila berhadapan dengan jenama-jenama yang telah lama menghiasi landskap sektor itu.
“Minyak sapi ini digunakan secara meluas oleh semua golongan masyarakat termasuk India, Melayu dan Cina.
Statistik itu menunjukkan kesedaran ramai pengusaha bukan Muslim terhadap kepentingan pensijilan Halal (kredit foto: Malaysiakini)
“Dengan adanya sijil Halal ini, ia akan memberi keyakinan kepada pengguna untuk memilih dan menggunakan produk kita walaupun terdapat banyak lagi pilihan lain.
“Kalau kita tengok perangkaan juga, ramai pengusaha bukan bumiputera percaya produk mereka boleh berjaya dengan adanya sijil Halal yang secara tidak langsung turut menunjukkan keyakinan pengeluar untuk menghasilkan produk Halal,” katanya.
Berdasarkan statistik keluaran Halal Development Corporation (HDC) pada Januari tahun ini, hanya 30 peratus daripada 9,000 lebih pemegang sijil Halal merupakan pengusaha Muslim atau Bumiputera.
Yazid menjelaskan bahawa 70 peratus daripada pemegang sijil Halal yang bukan Muslim itu mendapat keyakinan untuk menyediakan produk Halal dan diterima oleh masyarakat terutamanya pengguna Muslim.
Beliau menyifatkan penyertaan dan pensijilan Halal bagi Alzara Foods Sdn Bhd dalam industri itu sebagai satu inisiatif yang harus diambil serta merugikan jika tidak dihiraukan.
Anggaran nilai pasaran Halal global bermula tahun 2024 (kredit foto: Precedence Research)
Tambahnya, pensijilan Halal keluaran JAKIM itu juga berupaya mengurangkan kos pengusaha produk Halal sekiranya pengusaha mengikuti setiap arahan dan prosedur yang ditetapkan.
“Prosedur dan piawai Halal yang ketat jika dituruti dengan patuh maka ia sebenarnya boleh menjaga kualiti produk kita.
“Sekiranya terdapat produk yang ditolak atau harus ditarik balik disebabkan oleh sesuatu perkara yang tidak diingini, ia boleh merugikan syarikat,” katanya yang memasang harapan untuk menembusi pasaran halal global kini bernilai AS$2 trillion (RM4.21 trillion).
Pasaran itu dijangka akan terus meningkat setiap tahun.
Waktu Solat


29 May 2025
Waktu solat berikutnya,
Maghrib
pada
19:22

