Mar 24, 2026 2PM
Prabowo hubungi Anwar, pemimpin negara Islam sempena Aidilfitri
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menghubungi beberapa pemimpin negara Islam, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena Hari Raya Aidilfitri semalam bagi mengeratkan hubungan dua hala dan memperkukuh kerjasama global.
Menurut Setiausaha Kabinet Indonesia, Teddy Indra Wijaya, Prabowo turut mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi.
“Silaturahim ini menjadi sebahagian daripada usaha mengekalkan hubungan erat dan kerjasama antara negara, khususnya ketika menyambut Hari Raya yang penuh makna,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Inisiatif itu menunjukkan persaudaraan yang kukuh antara kedua-dua negara. (kredit foto: Pejabat Perdana Menteri)
Teddy menjelaskan, panggilan telefon ketika sambutan Hari Raya itu bukan sekadar tradisi Aidilfitri, tetapi bukti keeratan persaudaraan antara Indonesia dan negara-negara majoriti Muslim lain.
Antara pemimpin lain termasuk Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohammed bin Zayed Al Nahyan; Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif; Raja Jordan, Raja Abdullah II dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.
Sementara itu, Sekretariat Presiden dalam kenyataan rasmi pada Ahad berkata sambutan Aidilfitri kini tidak terhad kepada perayaan, namun menjadi ruang diplomasi, mengukuh ukhuwah serta simbol komitmen Indonesia untuk terus memperkukuh perpaduan global.
Beliau menyifatkan panggilan telefon Prabowo kepada pemimpin negara ketika sambutan Hari Raya satu jambatan perpaduan yang membawa mesej damai, kerjasama dan harapan kepada dunia Islam.
Waktu Solat


25 Mar 2026
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:58
















