Feb 20, 2026 1PM
Kadar Zakat Fitrah Selangor 2026 ditetapkan RM8, RM16 dan RM25
Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) mengumumkan kadar zakat fitrah bagi umat Islam di Selangor untuk Ramadan tahun ini ditetapkan pada RM8.00, RM16.00 dan RM25.00 seorang berikutan kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor serta perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menurut Zakat Selangor, penetapan kadar tersebut adalah berdasarkan harga semasa beras di pasaran dan timbangan satu gantang Baghdad yang bersamaan 2.6 kilogram beras.
Institusi zakat itu dalam sebuah kenyataan memaklumkan, kadar beras RM8.00 seorang adalah terpakai bagi individu yang mengambil Beras Super Spesial Tempatan atau Beras Putih Import.
Kadar RM16.00 pula ditetapkan bagi individu yang memakan Beras Wangi, Beras Pulut, Beras Rebus atau Beras Perang, manakala kadar RM25.00 untuk individu yang memakan Beras Basmathi, Herba Ponni, Beras Jepun/ Calrose, Beras Merah atau Beras Hitam.
Sehubungan itu, Zakat Selangor melantik lebih 2,400 Penolong Amil Fitrah (PAF) yang bertugas di lebih 460 masjid dan surau di seluruh negeri bagi memastikan kelancaran kutipan zakat fitrah sepanjang Ramadan.
Zakat Selangor menasihatkan orang ramai untuk hanya menunaikan zakat fitrah kepada PAF yang dilantik secara rasmi.

Kadar zakat fitrah ditetapkan mengikut jenis beras dimakan. (kredit foto: Lembaga Zakat Selangor)
Tambah organisasi itu, PAF bertempat di Kuala Selangor, Klang, Petaling, Hulu Langat dan Gombak kini menggunakan aplikasi mudah alih sepenuhnya untuk memudahkan urusan kutipan.
Melalui aplikasi tersebut, Zakat Selangor berkata pembayar akan menerima slip pengesahan bayaran secara digital sejurus transaksi dibuat dan membuat semakan melalui sistem EZO.
Bagi PAF di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Sepang and Kuala Langat, pembayaran akan dibuat menggunakan buku kupon fitrah seperti biasa turut disokong aplikasi sama.
Di samping PAF, Zakat Selangor berkata pembayaran juga boleh dibuat melalui aplikasi ZPay di kaunter sementara yang beroperasi di lebih 200 premis terpilih bagi urusan tanpa tunai seperti FPX, kad kredit atau debit, e-wallet dan QR DuitNow.
“Umat Islam di Selangor digalakkan menunaikan zakat fitrah lebih awal bagi membolehkan agihan kepada golongan asnaf dilaksanakan sebelum Aidilfitri.
“Sepanjang Ramadan ini, 19 cawangan Zakat Selangor dibuka tujuh hari seminggu termasuk cuti umum bagi memudahkan urusan pembayaran.
“Waktu urusan pada hari bekerja bermula dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, cawangan Zakat Selangor akan dibuka bermula 9.00 pagi hingga 3.00 petang,” katanya.
Waktu Solat


21 Feb 2026
Waktu solat berikutnya,
Dhuhr
pada
13:30
















