May 20, 2026 2PM
Malaysia negara kelima antara 10 ekonomi Islam terbesar dunia - IMF
Berdasarkan data World Economic Outlook International Monetary Fund (IMF) setakat April 2026, Malaysia dinobatkan sebagai negara kelima antara 10 ekonomi Islam terbesar dunia, menyusuli Turki, Indonesia, Arab Saudi dan Arab Emiriah Bersatu (UAE).
Menurut hantaran Yeni Safak, pencapaian itu ditetapkan mengikut Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) negara iaitu Turki sebanyak $1.64 trilion, Indonesia sebanyak $1.54 trilion, Arab Saudi sebanyak $1.39 trilion, UAE sebanyak $622 bilion dan Malaysia sebanyak $516 bilion.
GDP adalah penunjuk utama yang digunakan untuk mengukur saiz dan prestasi keseluruhan ekonomi sesebuah negara berdasarkan jumlah nilai pasaran bagi semua pengeluaran barangan dan perkhidmatan akhir di dalam sempadan sesebuah negara dalam tempoh tertentu.
Sumber berita Turki itu berkata, data terkini IMF mencerminkan perkembangan ekonomi negara-negara majoriti Muslim utama merentasi pembuatan, tenaga, kewangan, perdagangan dan perkhidmatan.
Bagi Malaysia khususnya, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, suku pertama Malaysia 2026 menunjukkan ekonomi pada asasnya kekal berdaya tahan walaupun dengan ketidaktentuan global yang semakin meningkat.
“Sektor pembuatan terus mencatat prestasi memberangsangkan dalam dua bulan pertama tahun 2026, apabila pengeluaran meningkat sebanyak 7.3 peratus pada Januari dan 4.2 peratus pada Februari, didorong terutamanya oleh industri berorientasikan eksport.

Turki mendahului carta 10 ekonomi Islam terbesar dunia, menurut IMF. (kredit foto: Yeni Safak)
“Perbelanjaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di samping persiapan bagi Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, turut merancakkan aktiviti ekonomi secara keseluruhan.
“Selain itu, penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta pelaksanaan fasa kedua penyelarasan gaji penjawat awam membantu menyokong pertumbuhan stabil dalam jualan perdagangan pengedaran, yang meningkat sebanyak 7.3 peratus pada Januari dan 5.3 peratus pada Februari 2026,” kata beliau dalam sebuah kenyataan pada 17 April 2026.
Tambah beliau, aktiviti perdagangan di sudut luaran pula kekal kukuh hasil pertumbuhan berterusan dalam eksport domestik dan eksport semula.
Merujuk portal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Malaysia mencatatkan anggaran awal pertumbuhan GDP 5.3 peratus pada suku pertama 2026 berbanding 6.3 peratus pada suku sebelumnya, disokong oleh perkembangan sektor perkhidmatan, pembuatan, pembinaan dan pertanian.
Namun, sektor perlombongan dan kuari mencatatkan penurunan pada suku ini, manakala dari segi prestasi suku ke suku, ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 4.4 peratus berbanding pertumbuhan positif 3.3 peratus pada suku keempat 2025.
Antara negara majoriti Muslim lain yang turut memasuki senarai 10 negara dengan ekonomi Islam terbesar adalah Bangladesh, Egypt, Pakistan, Algeria dan Iran.
Waktu Solat


21 May 2026
Waktu solat berikutnya,
Dhuhr
pada
13:13












