Apr 02, 2026 5PM
Guna berus bulu babi, status halal kilang kopi di Melaka ditarik
Sijil halal sebuah kilang memproses kopi dan biskut di Melaka ditarik semula susulan pemeriksaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang mendapati ia menggunakan berus bulu babi dalam operasi pembersihan peralatan.
Menurut laporan Malaysia Gazette, Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan berkata kilang terlibat adalah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan telah beroperasi lebih 10 tahun lalu.
“Pemeriksaan mendapati pekerja menggunakan berus diperbuat daripada bulu haiwan untuk proses pembersihan peralatan sebelum kita merampasnya untuk diperiksa Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.
“Hasil keputusan analisis pada Mac lalu kemudian mengesahkan berus berkenaan mempunyai ciri-ciri fizikal bulu babi menyebabkan sijil halal SPHM kilang itu ditarik serta-merta,” katanya, semalam.

Pemantauan JAIM terhadap operasi premis pemegang SPHM adalah penting bagi memastikan rantaian bekalan premis tersebut tidak dimasuki bahan-bahan diragui halal. (kredit foto: Facebook Bahagian Dakwah JAIM dan Malaysia Gazette)
Katanya, pihak pengurusan kilang tersebut memberi alasan pekerja mereka tidak mengetahui kesalahan penggunaan berasaskan bulu haiwan di tempat memproses makanan itu.
“Alasan ini tidak boleh diterima kerana setiap pemegang SPHM JAKIM wajib mematuhi piawaian halal yang ditetapkan.
“Pemegang sijil halal tidak boleh sambil lewa dan perlu sentiasa memastikan setiap aspek operasi mematuhi garis panduan halal yang ketat,” tegasnya lagi.
Pengarah itu berkata, JAIM akan terus mempertingkat pemantauan bagi semua premis pemegang SPHM untuk memastikan integriti pensijilan halal dipelihara.

Dua status halal pengeluar sektor makanan dan minuman (F&B) di Melaka ditarik balik. (kredit foto: Instagram @rizalhakimm_punyer)
“Ini kerana ia bukan sahaja terjamin dari segi hukum, malah lebih bersih serta sentiasa dipantau aspek kebersihan dan keselamatannya,” katanya.
Hari ini, Portal Halal Malaysia melaporkan sebuah syarikat kopi beralamat di Taman Tanjung Minyak, Melaka, Heng Loong Coffee Sdn Bhd disenaraikan dengan status Sijil Telah Ditarik Balik.
Heng Loong Coffee adalah pengeluar kepada Kopi Cap Cikgu yang boleh didapati secara atas talian atau di kedai fizikal.
Turut sama ditarik balik adalah Tian Hup Seng Biscuits Factory Sdn Bhd di Taman Telok Mas.
Waktu Solat


03 Apr 2026
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:54













