Mar 27, 2026 8PM
TH perkukuh ukhuwah, kebajikan melalui program Infaq Ramadan
Program Infaq Ramadan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama masjid serta surau TH berjaya mengutip sumbangan lebih RM270,000 dan menyalurkan lebih 900 kotak infaq sepanjang bulan Ramadan.
Melalui program ini, pelbagai aktiviti kebajikan dan rohani dilaksanakan untuk golongan memerlukan, termasuk penyampaian sumbangan kepada institusi pendidikan Islam, anak yatim.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, berkata program tahunan sejak 2022 itu menjadi platform penting untuk menggalakkan penyertaan warga TH dalam aktiviti kebajikan serta mengeratkan ukhuwah antara institusi dan masyarakat.
“Program Infaq Ramadan ini merupakan platform penting untuk menyemarakkan semangat kongsi rezeki serta menyantuni golongan yang memerlukan khususnya dalam bulan yang penuh keberkatan.
“Ramadan adalah waktu terbaik untuk meningkatkan amalan kebajikan dan memperkukuh hubungan sesama manusia. Melalui program infaq tersebut, TH berharap dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan di samping memupuk nilai keprihatinan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Bagi mempererat ukhuwah, TH menjalankan Program Semarak Ihya’ Ramadan di masjid dan surau dengan aktiviti sepanjang bulan Ramadan.
Antaranya ialah majlis berbuka puasa, majlis tahlil arwah, solat tarawih dan moreh yang diadakan setiap hari sepanjang Ramadan serta mendapat sambutan menggalakkan daripada warga TH dan masyarakat setempat.
Program yang turut mencuri perhatian ialah Majlis Berbuka Puasa “Road to Fitrah” di Dewan Besar TH yang dihadiri 120 saudara baharu dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).
Majlis dihadiri Mustakim itu diperkaya dengan pengagihan duit raya, kotak infaq, dan seorang individu mengucap syahadah memeluk Islam.
Selain itu, bagi menyemarakkan penghayatan Ramadan, TH menganjurkan pelbagai program kerohanian termasuk Ambang Ramadan, Kapsul Ramadan mingguan, Majlis Khatam Al-Quran serta TH Quran Hour yang melibatkan 913 warga TH daripada 142 kumpulan tadarus.

Kumpulan tadarus berkenaan memulakan bacaan sejak bulan Rejab melalui pelancaran Program Rejab, Syaaban dan Ramadan (RSR) 2026 di TH.
Menurut Mustakim, penganjuran program seumpama itu akan diperkukuh pada masa hadapan untuk memastikan TH terus menyantuni masyarakat sebagai institusi Islam.
Waktu Solat


28 Mar 2026
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:57

















