Nov 11, 2025 1PM
Maybank Islamic memimpin perubahan sosial melalui inisiatif zakat dalam tanggungjawab sosial korporat
Pada era serba pantas dan mencabar ini, zakat seringkali dianggap sekadar kewajipan agama secara tahunan semata-mata.
Namun, bagi Maybank Islamic, zakat bukan sahaja satu tanggungjawab terutamanya dalam konteks zakat perniagaan, tetapi juga merupakan alat pemberdayaan yang mampu mengubah kehidupan, membangunkan komuniti, serta mencetuskan kemajuan sosial yang berkekalan.
Zakat perniagaan, sebagai sebahagian daripada komitmen itu, melibatkan pengagihan zakat ke atas aset dan kekayaan perniagaan yang memenuhi syarat-syarat tertentu.
Melalui pendekatan tersebut, Maybank Islamic bukan sahaja memenuhi tuntutan agama, malah memanfaatkan zakat perniagaan sebagai pemangkin untuk memacu pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.
Menurut Ketua Pengurusan Syariah Maybank Islamic, Munawwaruzzaman Mahmud, inisiatif zakat turut mencerminkan komitmen kolektif Maybank Islamic dalam membina ekosistem yang inklusif dan progresif.
“Setiap individu berpeluang untuk berkembang tanpa mengira latar belakang. Lebih penting lagi, ia selari dengan komitmen Maybank Islamic terhadap agenda kelestarian dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan, memperluas akses kepada pendidikan berkualiti, dan mengurangkan jurang ketaksamaan,” katanya.

Ketua Pengurusan Syariah Maybank Islamic, Munawwaruzzaman Mahmud berkata, inisiatif zakat turut mencerminkan komitmen kolektif Maybank Islamic membina ekosistem inklusif dan progresif
Selaras dengan misi Kumpulan Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan di seluruh rangkaian cawangannya, Maybank Islamic konsisten memposisikan zakat sebagai pendorong perubahan berpanjangan.
Pendekatan itu sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI, sebuah kerangka pembangunan yang menekankan kemampanan, inklusiviti dan kesejahteraan insan.
Sejajar dengan komitmen tersebut, Maybank Islamic memperuntukkan dana zakat berjumlah RM34.6 juta bagi tahun kewangan 2025, yang difokuskan dalam empat segmen utama iaitu pendidikan, bantuan kemanusiaan, pemerkasaan ekonomi, serta Ihsan iaitu bantuan zakat secara langsung kepada golongan asnaf.
Melalui inisiatif berkenaan, Maybank Islamic berusaha memperkukuh peranan zakat sebagai instrumen transformasi sosial dan ekonomi golongan yang memerlukan.
Pendekatan itu bukan sahaja memperkukuh agenda kelestarian dan pembangunan sosial, malah membuktikan bahawa zakat mampu membuka peluang serta memberikan impak jangka panjang kepada masyarakat secara menyeluruh.
Gambaran Keseluruhan Inisiatif Zakat Maybank Islamic
Kewangan Sosial Islam
Maybank Islamic komited dalam memperkukuh peranan kewangan sosial Islam sebagai satu platform penting dalam memacu pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan.

Semarak Ilmu: Program usahawan digital bersama pelajar dengan objektif mendedahkan peluang keusahawanan digital, sekali gus membantu mereka menjadi usahawan yang berjaya
Melalui program kewangan sosial Islam, Maybank Islamic menyediakan pelbagai inisiatif bertujuan membantu golongan asnaf, usahawan mikro dan komuniti yang memerlukan sokongan kewangan berlandaskan prinsip syariah.
Program itu merangkumi agihan zakat dan pembiayaan sosial yang dirancang untuk memberi impak sosial yang positif serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Antaranya adalah program ISF: Ibupreneur Academy dan Program Kelestarian Perniagaan: Memperkasakan Aspek Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Usahawan Mikro Asnaf.
Selain itu, Maybank Islamic turut memperkasakan usaha kolaborasi strategik dengan pelbagai badan bukan kerajaan dan agensi-agensi yang berkaitan bagi memastikan penyaluran bantuan kewangan dapat disampaikan secara tepat dan berkesan.
Melalui pendekatan holistik, program Kewangan Sosial Islam Maybank Islamic bukan sahaja membantu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik, malah turut merangsang pertumbuhan ekonomi komuniti dan menyokong usaha pembangunan negara yang seimbang dan berteraskan nilai kemanusiaan.
Segmen pendidikan
Di bawah segmen pendidikan, penekanan diberikan dalam menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti kepada pelajar asnaf melalui program-program yang strategik membabitkan tiga tema utama iaitu kecemerlangan akademik, penjanaan peluang kerjaya dan pemerkasaan pembelajaran.
Salah satu program berimpak tinggi di bawah segmen pendidikan ialah program Semarak Ilmu yang dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Pelajaran MARA.
Program itu merangkumi pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga pascasiswazah. Ia dilaksanakan sejak tahun 2012 apabila pelajar asnaf dari seluruh negara menerima manfaat secara langsung.
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menjana peluang kerjaya dan memperkasakan golongan belia, Maybank Islamic telah memperkenalkan satu inisiatif yang diberi nama Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK).
Program itu memberi tumpuan untuk membantu pelatih mendapatkan pekerjaan dalam industri kenderaan berat sebaik sahaja tamat kursus.
Selain itu, Maybank Islamic juga turut memperkenalkan program pendidikan melalui kerjasama strategik bersama Malaysia Professional Accountancy Centre dalam menyokong kelayakan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA Qualification), sekali gus membuka lebih banyak laluan kerjaya profesional kepada generasi muda negara.
Melalui inisiatif tersebut, pelajar asnaf berjaya menempatkan diri dalam pasaran pekerjaan, sekali gus mencerminkan keyakinan Maybank Islamic bahawa pendidikan dan kemahiran bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi merupakan pemacu utama dalam membantu individu keluar daripada kitaran kemiskinan.
Segmen bantuan kemanusiaan

Nurhikmah, 42, seorang ibu tunggal yang melakukan pelbagai pekerjaan, bersyukur kepada Maybank Islamic atas pemberian pek makanan Program Bantuan Ramadhan Relief Serantau yang membantu meringankan bebannya
Maybank Islamic juga mengoptimumkan dana zakat melalui program-program yang memberikan impak tinggi kepada golongan asnaf berdasarkan kepada dua tema penekanan utama iaitu keperluan utama dan keperluan sokongan.
Program di bawah keperluan utama merangkumi pelbagai aspek seperti keperluan makanan, sumber tenaga yang bersih, bekalan air bersih dan kesihatan. Program di bawah keperluan sokongan pula merangkumi aspek seperti perumahan dan kos kehidupan.
Satu contoh utama untuk program di bawah segmen bantuan kemanusiaan adalah Program Ramadhan Relief Serantau (Regional Ramadhan Relief).
Pada bulan Ramadan lalu program berkenaan memberi manfaat kepada lebih 48,000 asnaf di 11 negara, termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Kemboja, dan yang terkini, Palestin.
Program seumpama itu bukan sekadar menghulurkan barangan keperluan, menyantuni mereka yang terkesan dengan penuh keprihatinan, sambil menyemai rasa kebersamaan dan solidariti merentas sempadan dan budaya.
Segmen pemerkasaan ekonomi
Usaha pemberdayaan ekonomi kini bergerak ke arah pembangunan usahawan asnaf yang mampan. Beberapa program berpotensi tinggi dikenalpasti, antaranya Program Keusahawanan Daya Asnaf bersama UKM dan Program Transformasi Ekonomi Wanita oleh Kelab Wanita Ikon Malaysia.
Program-program berkenaan dirangka untuk golongan muda, wanita serta komuniti terpinggir, dengan pendekatan yang bersesuaian mengikut tahap kematangan perniagaan dan keperluan peserta.
Program-program itu memberi peluang kepada peserta untuk mengikuti latihan yang praktikal merangkumi asas perniagaan, teknik pemasaran dan lain-lain, pemantauan berterusan, sesi bersama mentor-mentor terpilih serta peluang untuk mendapatkan modal tambahan untuk memajukan lagi perniagaan mereka.
Segmen Ihsan
Sebagai salah satu daripada empat segmen utama program tanggungjawab sosial zakat Maybank Islamic, segmen Ihsan memainkan peranan penting dalam memastikan bantuan zakat sampai kepada mereka yang paling memerlukan secara cepat dan menyeluruh.
Bantuan itu merangkumi sokongan asas seperti keperluan pendidikan, kesihatan, serta bantuan kecemasan kepada individu atau keluarga yang terkesan akibat musibah atau kesempitan hidup.
Di Maybank Islamic, zakat bukan sekadar kewajipan tahunan, tetapi merupakan peluang strategik untuk mencipta impak yang bermakna dalam kehidupan individu dan komuniti menerusi pelaksanaan inisiatif yang patuh Syariah.
Daripada pelajar kepada usahawan, dari komuniti terpinggir hingga ke kawasan luar bandar, setiap sen yang diagihkan membawa erti yang mendalam dan memberi harapan baharu.
Seiring dengan visi M25+, Maybank Islamic kekal komited untuk meneraju perubahan ini dengan penuh integriti dan kebertanggungjawaban, berpaksikan prinsip yang memberi manfaat holistik kepada masyarakat dan generasi akan datang.
Waktu Solat


16 Nov 2025
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:39












