Apr 03, 2026 10PM
Dua syarikat ditarik SPHM diarah henti logo halal, tarik semua produk
Sebuah syarikat pemporesan kopi dan sebuah syarikat kilang biskut di Melaka yang ditarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) diarahkan menghentikan penggunaan logo halal serta menarik balik semua produk.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata kedua-dua syarikat diarahkan melakukan penambahbaikan termasuk proses sertu mengikut syarak dan garis panduan sebelum permohonan semula SPHM boleh dipertimbangkan.
"Perkara ini memerlukan tindakan lanjut memandangkan keperluan untuk memastikan semua peralatan yang digunakan adalah bebas daripada unsur haram atau syubhah yang merupakan prinsip asas dalam pensijilan halal, termasuk implikasi terhadap pencemaran najis mughallazah.
"Sekarang ini pun mereka tidak boleh mempamerkan logo halal dalam premis...sekiranya melanggar arahan itu, dua tindakan yang boleh dilakukan antaranya tindakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) iaitu notis dan kompaun," katanya dipetik Bernama.

berus bulu babi - kredit foto JAIM
Rahmad berkata penarikan balik SPHM dibuat mengikut garis panduan kerana wujud ketidakakuran serius mengikut Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 (Pindaan); klausa 32(3) Ketidakakuran Serius (a) Ketidakakuran Berkaitan Syariah : (ii) Ketidakakuran berkaitan penggunaan, pengendalian, penyimpanan, dan percampuran bahan tidak halal meliputi bahan mentah, produk, menu, perkhidmatan, premis, peralatan dan perkakasan, produk dagangan dan lain-lain.
Beliau berkata tindakan JAIM terhadap kedua-dua syarikat itu merupakan prosedur biasa yang dilaksanakan secara berterusan.
"Saya ingin menegaskan bahawa pematuhan terhadap standard dan perundangan halal merupakan satu tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak.
"Dalam hal ini saya melihat JAIM amat berhati-hati dengan tindakan yang dilaksanakan kerana kita tunggu dulu keputusan daripada Makmal Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk tindakan menarik semula sijil halal kedua-dua syarikat berkenaan," katanya.
Beliau berkata kedua-dua syarikat hanya boleh memohon semula sijil halal selepas menjalani proses sertu, pemantauan ketat produk serta mematuhi prosedur pensijilan SPHM.
Rahmad turut menyarankan industri sentiasa meneliti rantaian pengeluaran, termasuk bahan mentah, peralatan dan proses, bagi memastikan integriti halal terpelihara.
Media melaporkan, sijil halal sebuah kilang kopi dan biskut di Melaka ditarik balik serta-merta selepas penggunaan berus dipercayai daripada bulu babi dikesan.
Pengarah JAIM Md Azhan Samat berkata perkara itu ditemui dalam pemeriksaan pada Januari lalu apabila penguat kuasa mengesan penggunaan berus berasaskan bulu haiwan di premis berkenaan.
Waktu Solat


04 Apr 2026
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:54













