Back To All

Apr 02, 2026 10PM

Nikah Siam guna BNPL boleh jadi beban berganda

author

NADIA AZAM

Seorang pakar kewangan Islam mengingatkan orang ramai, khususnya golongan muda supaya menilai dengan teliti penggunaan skim Buy Now Pay Later (BNPL) bagi tujuan perkahwinan, terutama membabitkan pakej nikah di luar negara seperti di Siam.

 

Ketua Jabatan Syariah, Ekonomi dan Tadbir Urus, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Mohd Shahid Mohd Noh, berkata secara asasnya hutang dalam Islam dibenarkan, namun tertakluk kepada kemampuan dan keperluan individu untuk melunaskan bayaran.


“Secara umum, hutang dalam Islam dibolehkan, tetapi ia mesti berada dalam kawalan dan diyakini mampu dibayar dan (hutang) bukan dibuat untuk kemewahan.


“Penggunaan BNPL yang semakin meluas dalam kalangan anak muda yang kini cenderung untuk perkara bukan keperluan sekali gus membentuk amalan kewangan yang tidak sihat.


“Gaya hidup sedemikian mendedahkan golongan itu kepada risiko gagal membayar hutang, ini adalah kemudaratan,” katanya kepada Kinihalal.



Dr. Mohd Shahid Mohd Noh


Mohd Shahid yang juga Ahli Panel Penasihat Syariah, Bank Muamalat Malaysia Berhad itu menegaskan hukum isu pakej nikah menggunakan BNPL bergantung kepada kemampuan serta tujuan perbelanjaan tersebut.


Katanya, jika seseorang mengambil pakej nikah secara ansuran sedangkan komitmen kewangannya sudah tinggi, individidu itu sebenarnya meletakkan diri dalam risiko kemudaratan, apatah lagi jika hutang itu bukan untuk perkara wajib.


“Perkahwinan itu sendiri adalah sunnah, namun ada kalanya pakej nikah merangkumi katering, pelamin dan pakaian yang kebanyakannya bukan keperluan asas, sebaliknya lebih kepada memenuhi kehendak dan kesempurnaan.


“Adakah nikah perlu pakej sedemikian? Lihat pada gaji, sekiranya individu itu boleh membayar ansuran BNPL, maka hukumnya harus.


“Tapi kalau gaji tinggal 50-50 untuk membayar hutang BNPL kerana komitmen tinggi, terbeban pula cukup-cukup makan, dia telah meletakkan dirinya pada risiko gagal bayar hutang, ini kemudaratan,” katanya.


Seorang agen perkhidmatan nikah Thailand mempromosi pakej BNPL di Threads 


Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar individu tidak mengambil risiko berhutang semata-mata untuk memenuhi standard atau gaya hidup tertentu.


Terdahulu, tular di Threads seorang ejen perkahwinan menawarkan khidmat pernikahan pakej nikah di Siam, Thailand menggunakan sistem pembayaran ansuran atau BNPL.


Hantaran yang tular itu mengundang kecaman orang ramai susulan secara terbuka mempromosikan pakej perkahwinan di seberang sempadan dengan pilihan pembayaran melalui SpayLater atau aplikasi kredit digital yang lain.


Mengulas amalan bernikah di luar negara tanpa mematuhi prosedur undang-undang tempatan, Mohd Shahid berkata, ia disifatkan boleh membawa kepada pelbagai implikasi.


Beliau berkata, jika melibatkan pelanggaran undang-undang seperti tidak mendapatkan kebenaran mahkamah, kemudian ditambah pula dengan beban hutang BNPL, ia menjadi kesalahan berganda serta mendedahkan individu kepada risiko lebih besar.


“Nikah di luar kawasan, dia mungkin tiada kemampuan, mungkin dalam bentuk penipuan  tidak maklumkan mahkamah, pakai pula BNPL, nampak gaya kesalahan berganda dari segi undang-undang dan syariat.


"Apabila nikah di sempadan, tiada undang-undang yang mengawal maka akan terdedah kepada risiko yang tak boleh dikawal. Ini terpulang kepada mereka yang nak pergi ke arah itu. 


“Nak kata haram, dia mungkin ada alasan, tapi dia meletakkan diri dalam risiko. Jangan mencampakkan diri kepada kebinasaan. Antara perkara yang membinasakan adalah berhutang.


“Jangan sengaja meletakkan diri di tempat berhutang atau penuh bebanan. Nak kahwin lagi satu dan berhutang pula. Ini boleh mengheret kepada perceraian dan isu rumah tangga lain. Harus fikir secara holistik,” katanya.


Bagaimanapun, beliau tidak menolak terdapat kes tertentu yang mempunyai keperluan dan sah di sisi syariah untuk seseorang bernikah di sempadan bagi pasangan yang misalnya berdepan isu dokumentasi atau kekangan tertentu.


“Ada kes terpencil yang benar-benar memerlukan (nikah di sempadan), dan jika individu itu mampu membayar serta memahami akad hutang yang dibuat, maka ia tidak menjadi isu dari sudut hukum,” katanya.


Beliau turut menekankan kepentingan ketelusan dalam setiap pakej perkahwinan BNPL agar tidak berlaku unsur penipuan atau eksploitasi.


Katanya, setiap akad mesti jelas dari segi harga, manfaat, kaedah bayaran serta implikasi sekiranya berlaku kegagalan bayaran.


“Nak jadikan patuh syariah boleh, tiada isu, tetapi semua terma perlu jelas dan tiada pihak yang mengambil kesempatan. Tanpa kejelasan, ia boleh membawa kepada unsur gharar dan akhirnya mendatangkan mudarat.


“Wajar pakej perkahwinan BNPL mempunyai manual atau perjanjian standard yang diberikan kepada pelanggan agar mereka memahami apa yang akan diperoleh,” katanya.


Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya berfikir secara menyeluruh sebelum membuat keputusan kewangan berkaitan perkahwinan.


“Elakkan meletakkan diri dalam situasi berisiko dan berhutang tanpa keperluan. Kita hidup bukan sekadar mengejar nikmat sementara, bimbang akhirnya ia mendatangkan kesengsaraan,” katanya.






Waktu Solat
Waktu Solat
mosque
mosque

02 Apr 2026

Waktu solat berikutnya,

Imsak

pada

05:54 (03 Apr 2026)

mosque
imsak

Imsak

05:55:00

fajr

Fajr

06:05:00

syuruk

Syuruk

07:12:00

dhuhr

Dhuhr

13:20:00

asr

Asr

16:22:00

maghrib

Maghrib

19:23:00

isha

Isha

20:32:00

mosque

Channel Partners

malaysiakinikiniTV

Strategic Partners

pibbhiphip

Media Partner for

WitexHei 2023Hei 2023Malaysia Showcase