Feb 04, 2026 12PM
Dasar Halal Negara di fasa akhir, dijangka siap Mei ini – Fadillah
Timbalan Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Pembangunan Dasar Halal Negara (DHN) kini pada fasa akhir dan dijangka siap Mei ini.
Fadhilah berkata, kerajaan bersetuju membangunkan DHN bagi memastikan hala tuju halal Malaysia lebih jelas dan mampan.
“Dasar ini akan menjadi panduan strategik bagi membina ekosistem halal yang inklusif, terancang dan mampan tanpa menjejaskan kuasa pensijilan sedia ada di bawah JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan majlis agama Islam negeri,” katanya.
Beliau berucap demikian sewaktu merasmikan Persidangan Ekonomi Halal Antarabangsa (IHEC) 2026 di Bangi, Selangor semalam.
Jakim sebelum ini dilaporkan komited memperkasakan ekosistem halal negara melalui DHN 2025-2035 untuk mengekalkan Malaysia sebagai peneraju halal global.

Timbalan Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof
Melalui inisiatif ini, kerajaan akan memperkukuh piawaian dan penguatkuasaan serta membangunkan Pelan Tindakan 2025–2030 bagi menjamin pembangunan industri halal negara yang menyeluruh.
Bagi merealisasikan fasa seterusnya pembangunan industri halal, Malaysia komited memperkukuh pelaksanaan yang tersusun, berfokus dan berimpak tinggi dalam tiga bidang keutamaan, iaitu pemerkasaan laluan pensijilan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penambahbaikan sistem pensijilan serta pengiktirafan bersama, dan pengukuhan kluster halal.
Menurut beliau, usaha itu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal global yang berintegriti dan berdaya saing.
“Dengan komitmen berterusan, kerjasama strategik antara kerajaan, industri, agensi antarabangsa serta pengiktirafan antarabangsa yang diterima, Malaysia akan memastikan warisan halal dan integriti pensijilan terus dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya dipetik Bernama.
Fadillah berkata industri halal merupakan penyumbang penting kepada ekonomi negara, dengan sumbangan sebanyak 7.94 peratus atau RM118.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hingga suku ketiga 2025.
Pencapaian itu diperkukuh dengan peningkatan bilangan pengeksport halal berdaftar kepada 1,525 syarikat, mencerminkan daya saing serta potensi besar industri halal sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
Menurut beliau, kerajaan turut giat memperluas skop akreditasi ISO/IEC 17065 bagi Pensijilan Halal Malaysia ke peringkat majlis dan jabatan agama Islam negeri, susulan kejayaan JAKIM memperoleh akreditasi tersebut sejak 2019.
“Insya-Allah, usaha ini akan memastikan pensijilan halal Malaysia mematuhi piawaian global dan diterima di peringkat antarabangsa,” katanya.
Menurut Fadillah, Malaysia mempunyai kelebihan strategik hasil sistem pensijilan halal yang diiktiraf dunia, kestabilan dasar serta kekuatan institusi dan tadbir urus yang kukuh.
Beliau berkata kelebihan itu perlu diperkasakan melalui kepimpinan dasar yang jelas, inovasi berterusan, pelaburan strategik dan kerjasama rentas sempadan yang lebih berimpak tinggi.
Mengulas mengenai IHEC 2026, beliau berkata persidangan berkenaan menjadi platform penting untuk membincang dan merangka hala tuju masa depan ekonomi halal secara holistik.
“Saya mengharapkan perkongsian pandangan termasuk penambahbaikan sistem sedia ada serta usaha memperluas keseluruhan rantaian nilai ekonomi halal negara,” katanya, sambil menambah perkara itu akan dikongsikan bersama Datuk Seri Ahmad Zahid.
Waktu Solat


04 Feb 2026
Waktu solat berikutnya,
Maghrib
pada
19:28
















