Back To All

Dec 12, 2025 6PM

Lebih 100 cawangan Mixue diiktiraf halal Jakim

Lebih 100 cawangan MIXUE Malaysia kini berjaya memperoleh pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi tahun 2025, menandakan kejayaan signifikan yang dijangka meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap standard halal dan keselamatan produknya.

 

MIXUE Malaysia memaklumkan dalam kenyataan perkembangan agresif rangkaiannya kini menempatkan jenama itu dalam kelompok terbesar bagi industri minuman teh dan ais krim di Asia Tenggara, sekali gus memperkukuh komitmen syarikat sejak 2022 untuk menyepadukan strategi perniagaan dengan nilai budaya dan sosial Malaysia.

 

Kenyataan itu menyebut bahawa pensijilan halal JAKIM merupakan langkah strategik yang mencerminkan kesungguhan jenama tersebut untuk mengukuhkan posisi dalam sektor makanan dan minuman di Malaysia.

 

“Pada tahun 2025 sahaja, pasukan halal MIXUE berjaya membantu lebih 100 kedai memperoleh pensijilan halal dan MIXUE akan terus memperluas jumlah cawangan bertauliah pada masa hadapan.

 

“Dengan pensijilan halal ini, MIXUE akan terus berpegang kepada misinya iaitu memperkukuh jenama, memperkaya rakan kongsinya dan memastikan semua orang di dunia dapat menikmati produk yang lazat, berkualiti tinggi dan mampu milik,” kata kenyataan itu.


 

Menurut Pengurus Besar MIXUE Malaysia Wang Wei Long, setiap proses daripada perolehan bahan mentah sehingga prosedur operasi di cawangan berjaya mematuhi sepenuhnya keperluan JAKIM melalui Sistem Jaminan Halal MIXUE yang komprehensif. 


Beliau juga menegaskan setiap cawangan diwajibkan mematuhi sistem tersebut bagi memastikan kualiti yang konsisten, pengurusan yang telus serta pematuhan undang-undang di seluruh negara.


“Daripada perolehan bahan mentah sehingga prosedur operasi cawangan, kami mematuhi semua keperluan JAKIM dan telah membangunkan Sistem Jaminan Halal MIXUE yang menyeluruh.

 

“Setiap cawangan diwajibkan mengikuti prosedur ini untuk memastikan kualiti konsisten, pengurusan telus dan pematuhan undang-undang di seluruh negara,” katanya.

 

Pada majlis penyampaian sijil halal itu Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM Muhyiddin Aziz @ Saari, secara simbolik menyerahkan sijil berkenaan kepada Wang disaksikan Pengarah Bahagian Pelaburan dan Penjanaan Dana Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ummu Hani Husna Abdul Aziz.

 


Wang turut merakamkan penghargaan kepada institusi dan rakan kongsi yang memainkan peranan dalam menyokong perjalanan halal MIXUE, antaranya JAKIM, Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM), rakan media, pemegang francais dan tetamu.


Cawangan MIXUE yang menerima pensijilan halal kini merangkumi Melaka, Johor, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor. 


Wang berkata, MIXUE akan terus mempertingkat jumlah cawangan bertauliah halal sebagai sebahagian daripada komitmen jenama dalam menawarkan produk yang selamat, berkualiti dan diyakini pengguna di seluruh negara.


“Kami kekal komited memastikan produk kami memenuhi tahap kualiti dan keselamatan tertinggi melalui sistem pengurusan yang mantap,” jelasnya.


Pada masa sama, MIXUE Malaysia turut diberi kesempatan menyertai Program SAMA – International Sahih Muslim Hadith Event 2025. 


Sepanjang program tersebut, lebih 3,000 cawan minuman dan 2,000 hidangan aiskrim diagihkan kepada peserta, manakala 10,000 baucar percuma diberikan semasa majlis penutup, mencerminkan keprihatinan jenama terhadap komuniti dan usaha untuk terus mendekati masyarakat.

 


Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Muhyiddin Haji Aziz @ Haji Saari, berkata masyarakat Malaysia pensijilan halal memberi jaminan kepada semua pelanggan memandangkan negara terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

 

“Dengan adanya pensijilan halal, pengguna Muslim serta bukan Muslim boleh menikmati produk MIXUE tanpa sebarang keraguan. Proses pensijilan ini dilaksanakan secara menyeluruh dan merangkumi semua bahan serta komponen yang digunakan,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Projek Halal MIXUE, Guo Xuying, turut merakamkan penghargaan kepada agensi kerajaan atas panduan profesional yang diberikan sepanjang proses pensijilan, yang membantu MIXUE menambah baik serta mengukuhkan Sistem Jaminan Halalnya.

 

Beliau menegaskan bahawa pensijilan halal bukan sekadar alat promosi, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada komitmen MIXUE terhadap tanggungjawab sosial dan pengukuhan jenama.


“Dengan pensijilan ini, MIXUE akan terus berpegang pada misinya untuk memperkukuh jenama, memberi nilai kepada rakan niaga dan menawarkan produk berkualiti tinggi serta mampu milik kepada pelanggan di seluruh dunia,” katanya.


MIXUE semarak harapan mangsa banjir


Selain memperkukuh status halal dan kualiti operasinya, MIXUE turut menekankan peranan sosial sebagai jenama yang dekat dengan komuniti.


Pada penghujung November lalu, ketika beberapa kawasan di Perlis dan Perak dilanda banjir akibat hujan lebat berterusan, pasukan MIXUE turun padang melawat beberapa pusat pemindahan sementara untuk menyalurkan bantuan ringan serta memberi sokongan kepada keluarga, warga emas dan kanak-kanak yang terjejas.


Kehadiran mereka di pusat pemindahan itu sedikit sebanyak membantu meringankan keadaan mangsa dan mencerminkan keprihatinan jenama terhadap komuniti setempat.



Waktu Solat
Waktu Solat
mosque
mosque

25 Dec 2025

Waktu solat berikutnya,

Imsak

pada

05:53 (26 Dec 2025)

mosque
imsak

Imsak

05:53:00

fajr

Fajr

06:03:00

syuruk

Syuruk

07:14:00

dhuhr

Dhuhr

13:16:00

asr

Asr

16:39:00

maghrib

Maghrib

19:13:00

isha

Isha

20:28:00

mosque

Channel Partners

malaysiakinikiniTV

Strategic Partners

pibbhiphip

Media Partner for

WitexHei 2023Hei 2023Malaysia Showcase