May 30, 2025 7PM
JAKIM, KPDN perkukuh kerjasama pantau pemegang sijil Halal
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini bekerjasama secara aktif untuk memantau setiap pemegang sijil Halal di seluruh negara.
Ketua Pengarah Jakim Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, ia bertujuan memastikan pemegang sijil halal tidak melanggar syarat ditetapkan.
“Dalam konteks pemantauan dan penguatkuasaan, kita (JAKIM) bekerjasama erat dengan KPDN kerana akta perihal dagangan atau perintah perihal dagangan itu ada bersama mereka,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau diminta mengulas demikian susulan tindakan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) menarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) milik dua hotel di Banda Hilir selepas didapati menganjurkan parti arak dua minggu lalu.
Menurut Sirajuddin, pihaknya memandang serius insiden terbabit malah tidak sesekali berkompromi dengan sebarang kes membabitkan penyalahgunaan sijil halal.
“Setiap (Jabatan Agama Islam) negeri juga (disaran) melaksanakan operasi sama untuk membuat pemantauan dan memastikan supaya perkara sebegini tidak berlaku dalam kalangan pemegang sijil halal.
Langkah itu susulan Jaim menarik semula hak sijil Halal selepas dua hotel di Melaka didapati melanggar syarat
“Kita juga menyantuni apa yang telah dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar supaya mereka yang mempunyai atau mendapat sijil halal tidak melakukan sesuatu di luar batasan dan bercanggah dengan kehendak syarat,” katanya.
Sementara itu, berhubung pengeluaran sijil halal, beliau berkata, pihaknya komited memastikan segala proses pengeluaran sijil dapat diperkasa serta dipercepatkan bagi memastikan manfaat dapat dinikmati semua pihak.
“Insya-Allah, kita yakin akan pertingkatkan bukan sahaja bilangan yang diluluskan, malah tempoh masa yang diambil itu akan dapat diringkaskan … setakat ini, yang paling (cepat) seminggu (sijil halal diluluskan),” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa tempoh pemprosesan pensijilan halal telah dipendekkan kepada 15 hari bekerja berbanding 23 hari, sebagai langkah untuk merangsang pertumbuhan industri halal negara.
Waktu Solat


01 Jun 2025
Waktu solat berikutnya,
Maghrib
pada
19:22

