Dec 30, 2025 2PM
Persidangan Ekonomi Halal Antarabangsa (IHEC) 2026: platform merancakkan Ekonomi Halal global
Persidangan Ekonomi Halal Antarabangsa (IHEC) 2026 akan berlangsung dari 3 hingga 5 Februari 2026 di Hotel Tenera & Suite, Bandar Baru Bangi, Selangor, bagi menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin industri, ahli ekonomi, pengawal selia, pelabur dan inovator untuk membentuk masa depan Ekonomi Halal global.
Persidangan itu berfungsi sebagai platform strategik untuk meneroka peluang baharu dalam pasaran halal global, sekali gus memperkukuh aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab halal paling berpengaruh di dunia melalui tadbir urus yang kukuh, inovasi, kelestarian dan kerjasama rentas sempadan.
IHEC 2026 akan dimulakan dengan ucapan nasional peringkat tinggi yang menegaskan kepimpinan Malaysia dalam Ekonomi halal serta komitmen berterusan negara dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif merangkumi pasaran Muslim dan bukan Muslim.
Sepanjang persidangan, acara itu akan menampilkan 14 sesi panel yang menghimpunkan penggubal dasar, ketua ahli ekonomi, pengawal selia, pengamal industri, ahli akademik serta peneraju pasaran global.
Perbincangan memberi tumpuan kepada trend pasaran global, dinamik pengguna, perkembangan kluster halal di ASEAN, GCC, Eropah, China dan Afrika, serta sektor berpotensi tinggi termasuk makanan, farmaseutikal, kosmetik, logistik, ekonomi digital, pelancongan dan kewangan Islam.
Perkembangan utama dalam aspek peraturan, perdagangan dan pelaburan yang membentuk ekosistem halal pasca 2026 turut dibincangkan.
Selaras dengan visi nasional Malaysia dalam memperkukuh ekosistem halal global, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim berkata, industri halal telah berkembang melangkaui sektor makanan dan minuman kepada satu ekosistem menyeluruh yang merangkumi penjagaan kesihatan, farmaseutikal, kosmetik, pelancongan serta kewangan Islam.

Malaysia dalam rancangan menjadi hab halal global menjelang 2030, berdasarkan Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030. (kredit foto: Pejabat Perdana Menteri)
“Kerajaan akan terus secara proaktif memposisikan industri halal sebagai model ekonomi sejagat dalam semua misi perdagangan dan penglibatan dua hala, sama ada dengan negara majoriti Muslim atau bukan Muslim.
Pasaran halal global kini dianggarkan bernilai lebih RM16.02 trilion dan dijangka berkembang kepada RM22.88 trilion menjelang tahun 2030,” katanya sempena Malaysia International halal Showcase (MIHAS) pada 19 September 2025.
Ia mengukuhkan kepentingan strategik IHEC 2026 sebagai platform utama untuk menyelaras dasar, memperkasa kerjasama antarabangsa serta memacu pertumbuhan Ekonomi halal sejagat selari dengan potensi pasaran global yang semakin berkembang.
Melengkapkan persidangan, program berfokus industri turut dijalankan sepanjang acara, termasuk sesi bimbingan perniagaan berkaitan pematuhan halal dan akses pasaran, pameran antarabangsa berfokuskan produk, perkhidmatan dan teknologi halal, sesi perbincangan perniagaan yang menghubungkan pembeli, pembekal dan pelabur, serta kaunter pemudah cara kewangan yang menawarkan akses kepada penyelesaian perbankan Islam dan khidmat nasihat pembiayaan projek halal.
Persidangan itu akan diakhiri dengan Malam Gala IHEC 2026 pada 5 Februari 2026, satu majlis berprestij yang menghimpunkan delegasi tempatan dan antarabangsa, pemimpin industri, pembuat dasar serta rakan strategik.
Pada malam tersebut, Anugerah IHEC 2026 akan disampaikan kepada organisasi, peneraju industri, inovator dan institusi cemerlang sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan signifikan mereka dalam memajukan dan memperkasa industri halal di peringkat serantau dan global.
Malam Gala IHEC 2026 mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pemangkin dialog halal global, memperkasa penyelarasan dasar, kolaborasi industri dan pertumbuhan ekonomi mampan, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai pusat strategik ekosistem halal dunia.
Waktu Solat


01 Jan 2026
Waktu solat berikutnya,
Maghrib
pada
19:17












