Jun 30, 2025 1PM
Menteri Agama tegur individu ambil tanah kubur untuk dapat berkat
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar menegur perbuatan sesetengah pihak yang mengambil tanah perkuburan bagi mendapatkan keberkatan.
Ia susulan laporan tindakan segelintir individu yang didakwa mengambil tanah dari pusara Almarhumah Nurly Shahirah Azman, mangsa nahas bas UPSI di laluan Gerik-Jeli pada 9 Jun lalu.
“Perbuatan sedemikian amat mendukacitakan dan bertentangan dengan prinsip akidah Islam yang murni.
“Tindakan mengambil tanah kubur dan menyapunya ke wajah, jika disertai dengan keyakinan bahawa ia membawa keberkatan atau kuasa tertentu, boleh menjurus kepada perbuatan menyanggahi batas-batas syariat.
Datuk Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyeru individu terbabit untuk insaf dan kembali ke ajaran sebenar Islam (kredit foto: Malaysiakini)
“Islam mengajar umatnya agar menjaga adab terhadap orang yang telah meninggal dunia serta menghormati kawasan perkuburan,” katanya dalam sebuah kenyataan di Facebook.
Na’im Mokhtar sebaliknya menggalakkan umat Islam untuk mendoakan kesejahteraan roh si mati dan menziarahi kubur sebagai peringatan terhadap kematian serta menambah keinsafan.
Beliau turut menyeru masyarakat Muslim agar berhati-hati dalam setiap amalan dan tidak terikut-ikut dengan perbuatan yang tiada asas dalam syariat.
Dalam pada itu, Na’im Mokhtar menzahirkan sokongan atas tindakan tegas dan berhemah yang diambil oleh keluarga Almarhumah serta pihak berkuasa agama yang memantau kawasan perkuburan bagi menangani isu tersebut.
Keluarga Almarhum terpaksa mengambil tindakan tersebut bagi memastikan tiada individu mengulangi perbuatan sedemikian (kredit foto: Al Hijrah Online)
Menurut senator itu, inisiatif tersebut selari dengan usaha berterusan pihak kerajaan dalam membanteras amalan khurafat serta mengukuhkan akidah umat Islam di negara ini.
“Akhirnya, marilah kita bersama-sama mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah Nurly Shahirah dan memberikan ketabahan kepada keluarganya.
“Kepada yang terlibat, kembalilah kepada ajaran Islam yang benar, mohonlah ampun kepada Allah dan hentikan perbuatan yang sia-sia serta merosakkan akidah ini.
“Sesungguhnya amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang paling benar, bukan yang paling popular,” katanya.
Waktu Solat


04 Jul 2025
Waktu solat berikutnya,
Isha
pada
20:45

